Archive for November, 2010

HARI MENJAGA PARKING SEDUNIA.

Posted in BULETIN on November 27, 2010 by jabatan amal titiwangsa

Kg Pandan Kuala Lumpur Sabtu 27 November 2010 : Tugasan AMAL di pagi Sabtu yang indah ini adalah menjaga parking di majlis kenduri kahwin anak sulung  kepada pasangan Encik Wan Abd Hamid dan Puan Nurhalili. Bertempat di Masjid ArRahimah Kg Pandan , aksi berbahaya jaga menjaga parking bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 3 petang. Tahniah kepada yang bertugas.

Advertisements

TOLONG KAMI USTAZ !

Posted in TAZKIRAH on November 24, 2010 by jabatan amal titiwangsa

“Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya. “Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.

 

Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu. “Awak pernah pukul ular ke?” Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut. Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada sebabnya. Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya. Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi. Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah.

 

Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,” akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah. Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang.

 

Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama. Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap. “Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan. Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang manusia pun tidak kelihatan. Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya.

 

Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula. Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram. “Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka. “Saya menjerit sekuat hati meminta tolong.

 

Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu lagi. Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu. Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut.

 

Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut. “Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk. Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk. Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular.

 

Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina. Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu. “Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin. Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

 

DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA : “SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG DIPERUNTUKKAN KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH MENGETAHUI HUKUMNYA.”

 

AMAL DI KG BHARU

Posted in AKTIVITI on November 23, 2010 by jabatan amal titiwangsa

Kg Bharu Kuala Lumpur Sabtu 20 November 2010 : AMAL kali ini berkhidmat kepada Ahli Parlimen Titiwangsa di dalam program Skim Mesra Usia  Emas dan edaran daging korban kepada penduduk sekitar Kg Bharu. Majlis di serikan dengan ucapan pimpinan PAS peringkat Negeri dan kawasan , di susuli ucapan wakil kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lu Lu Dato Haji Ghazali . Majlis di teruskan dengan acara penyerahan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Antara tugasan AMAL , membantu penyediaan jamuan makan tengahhari dan kebersihan.

CALON SYURGA DAN CALON NERAKA..SIAPAKAH ANDA ?

Posted in TAZKIRAH on November 23, 2010 by jabatan amal titiwangsa

Sabda Rasul saw : “Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga.” Sahabat bertanya : “Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah saw : “Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga.”

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang melanggar perintah Allah swt, melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan Rasul-Nya .

Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama. Tidak peduli dosa dan pahala. Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat.

Memburu kepentingan duniawi tanpa peduli halal dan haram. Demikianlah firman Allah swt :

“Maka adapun sesiapa yang melampaui batas (melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan) dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka.”

Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha Agong. Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt. Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya. Firman Allah swt :

“.. dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak.” (Surah an Naazia’t : 38 – 41)

Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt, justeru syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa. Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt.

“Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba-hamba kami akan mereka yang benar-benar bertaqwa.” (Surah Maryam : 63)

Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :

“.. bahkan mereka yang melakukan kejahatan (rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya) dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka, mereka pula kekal di dalamnya sementara orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, merekalah penghuni syurga, mereka pula kekal di dalamnya.” (Surah Al Baqarah : 81)

Ayat-ayat di atas, bolehlah dinilai oleh setiap individu, bagaimana keadaan kita.

Ia pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum.

Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak.

Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka.

Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu.

Seperti kita menyebut kepada anak kita, “Hei Awang! Jangan mencuri nanti kamu masuk neraka” atau sebaliknya “Hei Awang! Sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga.”

Tentu tidak salah perkataan-perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak.

Artikel iluvislam.com

Posted in BULETIN on November 19, 2010 by jabatan amal titiwangsa
TARIKH :
3 – 5 DISEMBER 2010
TEMPAT :
KEM PENGAKAP NEGERI MELAKA
Salam perjuangan warga anggota Jabatan Amal seluruh Malaysia. Sepertimana yang diketahui, Jabatan Amal Malaysia akan menganjurkan satu program iaitu Perkhemahan Jabatan Amal untuk kali yang pertama. Seperti yang telah diperbincangkan program ini khas untuk ahli yang berdaftar sahaja yang mana sebelum ini kita menganjurkan acara Jambori Amal setiap tahun tetapi kebanyakan peserta tidak mendaftar sebagai ahli Jabatan Amal. Oleh yang demikian, acara tahunan Jambori akan diselang-selikan dengan program Perkhemahan Tahunan Amal.
Bagi yang mereka yang tinggal di Parlimen Titiwangsa berminat menyertainya boleh lah menghubungi komander AMAL Kawasan Saudara Mohd Rashidi Abd Razak di talian  0122428942 sebelum tarikh tutup 1 Disember 2010. Terbuka kepada yang berumur 13 tahun ke atas.   Bayaran belum di tetapkan ,tetapi tidak lebih RM 30. Terima kasih.

AMAL DI PAGI RAYA KORBAN

Posted in BULETIN on November 17, 2010 by jabatan amal titiwangsa

Keramat Kuala Lumpur Rabu 17 November 2010 : Sempena Raya Eiduladha yang mulia ini, AMAL bersama sama PAS Kawasan Titiwangsa , menjayakan ibadah korban dengan menumbangkan 7 ekor lembu. Bertempat di PASTI Al Hidayah  Keramat , di mulakan kira2 jam 9.30 pagi dan berakhir kira2 jam 12 tgh hari. Antara tugasan AMAL, menumbangkan lembu, lapah dan bersih kawasan. Bagaimanapun, AMAL tidak di tugaskan menyembelih lembu korban kerana AMAL tak reti sorang pun ..hi..hi..hi..Tahniah kepada PAS Kawasan, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr lu Lu  , petugas dan peserta program tersebut. moga amalan korban ini mendapat keberkatan di sisi ALLAH SWT.

Perutusan Aidil Adha Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Posted in SISIPAN on November 16, 2010 by jabatan amal titiwangsa

PENGORBANAN MEMARTABATKAN ISLAM

 

Marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur kepada Allah Taala kerana dengan rahmat dan kasih sayangnya, kita diberikan peluang oleh Allah Taala untuk terus menghirup udara tanpa sebarang bayaran , lantas memungkinkan kita untuk bertemu dengan Idul Adha yang merupakan satu simbul kemenangan umat Islam. Lafaz talbiah yang diucapkan oleh para tetamu Allah di bumi Makkah:

 

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك

 

merupakan satu ikrar yang mengandungi janji setia seorang hamba terhadap Khaliqnya untuk menjadi seorang yang akan taat, tunduk dan patuh tanpa berbelah bagi , tanpa ada di sana unsur syirik yang menduakan Allah dalam segala segi.

 

Ruh ucapan talbiah ini di samping takbir yang kita lafazkan sepanjang hari tasyrik ini , sepatutnya bukan sekadar menanam ucapan di bibiran semata-mata namun wajib untuk kita fahami maksud dan pengertiannya , yang pastinya membuahkan kekerdilan jiwa seorang insan di hadapan keagungan tuhan.

 

Takbir yang dilafazkan pasti menguit hati untuk memikirkan betapa besar dan agungnya Allah tuhan sekalian alam. Allah yang kita sembah, kita puji, kita agung-agungkan, kita nyatakan dihadapanNya kelemahan kita.

 

Nabi Musa Kalimullah yang satu ketika dahulu berada dalam keadaan tersepit antara lautan yang terbentang di hadapan dan Firaun yang di mengejar di belakang. Tiada daya seorang manusia untuk menyelamatkan diri ketika itu melainkan hanya menyerahkan sepenuh pengharapan kepada Allah , lantas Allah membantu kekasihNya dengan menghancurkan si taghut yang bongkak menyatakan رَبُّكُمُ الْأَعْلَى أَنَا dengan menenggelamkan seluruh bala tentera Firaun laknatullahi alaih.

 

Utusan terakhir, Rasulullah kekasih hati ketika dalam suasana yang sangat menyesakkan nafas mukmin dan muslim yang diasak oleh paduan kekuatan kuffar dalam peperangan Khandak, tiada daya dan usaha seorang manusia yang boleh melepaskan kaum muslimin ketika itu yang keadaan mereka umpama telur di hujung tanduk namun Allahlah yang telah menghancur dan melenyapkan kekuatan musuh dengan memberikan kemenangan kepada golongan mukmin yang tabah berada di bawah panji-panji Islam yang dikibarkan oleh baginda rasul SAW.

 

Maha Suci Allah yang sangat gagah menghancurkan tipu daya musuh. Maha Suci Allah yang sangat gagah dalam memberikan kemenangan kepada hambaNya yang beriman.

 

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

 

Itulah hakikat kebesaran Allah dalam memporak-perandakan setiap perancangan jahat golongan yang ingin memastikan agama Allah mampu untuk dibunuh dan diperkotak-katikkan namun seakan musuh Allah lupa bahawa cahaya Allah akan terus menjuarai setiap pertempuran walau sehebat manapun perancangan seorang yang bernama manusia.

 

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

 

Mereka mahu memadam cahaya agama Allah dengan mulut – mulut mereka , tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya agamanya .

 

Generasi penggerak kebangkitan Islam akan datang

 

Setiap kali kita menerima tanggal 10 Zulhijjah, pastinya lembaran silam akan bermain di lubuk sukma , memutarkan kembali kisah seorang hamba Allah yang taat melaksanakan perintah Al-Rabb , di samping kesabaran seorang anak dan seorang ibu dalam mematuhi perintah Allah.

 

Betapa agung keluarga ini yang sanggup membuang resah hati seorang insani demi erti sebuah ketaatan. Allah berfirman di dalam Al-Quran menyatakan ketulusan hati Nabi Ibrahim :

 

وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ * إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

 

bermaksud:

 

Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah terdiri dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

 

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Bayangkan wahai kaum muslimin suasana ketika Allah memerintahkan nabi ini untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri, Ismail Alaihimassalam.

 

Sungguh perintah ini sangat menyayat hati. Hati ayah manakah yang akan tergamak menyembelih darah dagingnya sendiri? Hati ibu manakah yang tidak akan tersentuh apabila anak kesayangannya ditakdirkan mati di tangan suaminya sendiri. Seakan dunia ini sudah tidak punya ertinya lagi seandainya kehidupan ini dilalui tanpa insan tersayang.

 

وَا حَسْرَةً للْفَتَى ساعَــ ـةً يَعِيشُها بعد أحِبَّائـهِ عُمْرُ الفَتى لو كان في كَفِّــه رَمَى به بعد أوِدَّائـهِ

 

· alangkah sedihnya bagi seorang yang menemui satu ketika, · dia hidup tanpa kekasihnya di sisinya, · kalaulah nyawa itu berada di tapak tangan, · pasti kan dilemparkan apabila kekasih sudah tiada.

 

Namun apabila di sana berlaku pertembungan antara tuntutan Allah dan runtunan jiwa, mukmin sejati akan pasrah dan tunduk memuliakan perintah penciptanya. Itulah yang berlaku dalam keluarga soleh ini.

 

Si ayah melemparkan rasa kasihannya demi kerana Allah.

 

Si ibu tega menyeka air matanya semata-mata rindu kepada cinta Allah.

 

Si anak sabar dalam menghadapi ujian kematian semata-mata kerana redha dan menyakini bahawa diri ini adalah kepunyaan Allah.

 

Namun Allah tidak berlaku zalim terhadap hambanya. Arahan yang dikeluarkan hanya untuk mencuit hati insan sepanjang zaman agar menginsafi erti sebuah pengorbanan.

 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ من الصابرين

 

Yang bermaksud:

 

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

 

Persoalannya adakah kita benar-benar meletakkan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya? Adakah benar kita telah menjadi seorang yang mempraktikkan ikrar setia harian kita إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ia benar-benar terlaksana?

 

Kita sedih dengan apa yang menimpa generasi Muslim yang kian parah jati dirinya. Akhlak yang merudum, keperibadian yang kian bernanah memburukkan lagi usaha untuk mencari redha Allah.

 

Budaya ikhtilat ( pergaulan bebas ) yang menyemarakkan api nafsu di kalangan muda mudi yang sunyi daripada syariat Islam semakin menjadi-jadi. Sang jejaka sudah tidak segan silu untuk menodai sang gadis demi cinta kononya . Kemudahan teknologi dan tamaddun modern yang ada , digunakan bagi memohon murka dan kebencian Allah.

 

Filem-filem lucah yang mempamirkan aksi berahi sudah jadi sebati dengan jiwa rakyat Malaysia. Budaya melihat aurat wanita dalam rancangan televisyen seakan tiada mengapa. Kita semakin lupa bahawa mata dan panca indera yang lain merupakan amanah Allah yang akan ditanya di akhirat kelak.

 

Budaya untuk mengimarahkan rumah Allah semakin dipinggirkan. Rumah Allah sepi tanpa dihiasi dengan solat berjemaah tanda kepatuhan kepada Allah seakan-akan tidur dan dunia lebih besar daripada menyahut panggilan Allah. Malah rumah Allah semakin mudah untuk disembamkan ke bumi sebagaimana yang berlaku di Kampung Bkt. Berembang, Kampung Bujal seketika dulu , sedangkan lokasi-lokasi maksiat tetap tersenyum bongkak meratah akhlak dan jiwa seorang muslim.

 

Apakah ini hasil tarbiah atau didikan yang kita timba dalam setiap lembaran 10 Zulhijjah yang menjelma. Apakah ini tanda bahawa ruh pengorbanan nabi Ibrahim sekeluarga sudah mampu untuk kita realisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari? Adakah ini model terbaik kepada satu peribadi yang bakal menjadi galang ganti kepada perjuangan para nabi? Nabi SAW menyatakan:

 

فَوَاللَّهِ ‏ ‏مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا ‏‏ ‏‏ تَنَافَسُوهَا فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ

 

yang bermaksud : Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan bakal menimpa kamu tetapi aku aku takut seandainya kamu akan dibentangkan dunia di hadapanmu lantas kamu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sebagaimana umat sebelummu berusaha untuk mendapatkan dunia lantas dunia menghancurkan kamu sebagaimana dunia telah menghancurkan umat sebelum kamu.

 

Sudah sampai masanya kita kembali menyatakan ketaatan kita kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang semakin membarah di kalangan kita agar Allah memberikan peluang kepada kita untuk dipilih menjadi penggerak ummah bertuah ini.

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

 

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

 

Allah berfirman:

 

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ

 

yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

 

Ibadah korban yang disyariatkan pada hari raya Idul Adha ini merupakan simbolik kepada memperingati pengorbanan yang luar biasa yang dipersembahkan oleh Nabi Allah Ibrahim sekeluarga. Korban di sisi Islam dilaksanakan semata-mata mengharap redha Allah Taala berbeza dengan korban yang dilaksanakan oleh masyarakat jahiliyyah yang dipersembahkan kepada Al-Lata dan Al-Uzza.

 

Allah tidak menginginkan darah serta daging binatang yang disembelih namun keikhlasan yang lahir daripada hambaNya akan menganugerahkan penerimaan ibadah tersebut. Menifestasi pengorbanan ini perlu diserapkan untuk mendarah daging dalam setiap jiwa umat Islam.

 

Namun, seandainya kita meneliti realiti keadaan umat Islam hari ini, kita akan dapati betapa jauhnya mereka dengan nilai pengorbanan yang meletakkan kemahuan Allah itu di puncaknya. Umat Islam sangat parah dengan pelbagai penyakit yang membawa kepada kejauhan daripada kasih sayang Allah.

 

Mereka dihinggapi dengan penyakit krisis keyakinan terhadap kemampuan Islam sebagai jawapan dalam semua permasalahan. Betapa ramai di kalangan umat Islam yang tidak mahu berjuang untuk meletakkan Islam kembali dijulang. Islam dianggap sebagai upacara keagamaan semata-mata. Islam dianggap bukan penyelesaian kepada masalah kenegaraan, politik, ekonomi, sosial dan undang-undang.

 

Teori ortodok memisahkan agama daripada kehidupan masih dianuti. Mereka cuba untuk meracuni jiwa muslim agar beriman dengan kata-kata yang menjadi asas teori sekularisme: دع ما للقيصر للقيصر وما لله لله

 

Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan serahkan urusan Allah kepada Allah .

 

Ulamak dipersenda. Kata-katanya dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Budaya hiburan tanpa batasan Islam semakin menular di dalam jiwa muda-mudi Islam. Ulama bisu cuba untuk memesongkan agama Allah semata-mata kerana sekelumit habuan dunia . Agama Allah cuba untuk dicabuli.

 

Undang-undang Allah dianggap sebagai undang-undang rimba yang hanya membawa negara kepada kemunduran. Murtad semakin menjadi-jadi. Zina seperti perkara biasa.

 

Apakah umat seperti ini yang diharapkan bakal memartabatkan Islam? Adakah golongan ilmuan Islam yang tergamak mengkhianati ilmunya ini yang diharap-harapkan bakal memimpin tangan masyarakat untuk kembali mencari redha dan kasih ilahi?

 

Demi tuhan Kaabah! Mereka bukan harapan yang ditunggu-tunggu. Mereka bukan pewaris perjuangan para anbia dan para mursalin. Allah melaknat golongan yang cuba untuk memutarbelitkan Islam dengan akal dan nafsu dangkal mereka sebagaimana Allah melaknat golongan ulamak jahat Bani Israil yang sanggup untuk menokok tambah Al-Taurah dan Al-Injil semata-mata mengharapkan secebis nikmat dunia yang sementara.

 

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ * كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ * تَرَى كَثِيرًا مِنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنْفُسُهُمْ أَنْ سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِي الْعَذَابِ هُمْ خَالِدُونَ

 

Yang bermaksud:

 

78] Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.[79] Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.[80] Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (Neraka)

 

Demi tuhan Kaabah! Allah sama sekali tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam selagi mana ummat ini tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Allah akan terus menjadikan umat ini hina di sisi musuh selagi mana mereka masih lagi betah untuk mengabdikan kehidupan mereka dengan sistem jahiliyyah moden rekaan tangan-tangan manusia yang dicipta tanpa mengambil peduli kehendak Allah Rabbul Alamin.

 

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

 

Yang bermaksud: Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.

 

Kata pujangga:

 

إذا الإيمانُ ضاع فلا أمانَ ولا دنيا لِمَنْ لمْ يُحْيِ ديناَ ومَنْ رَضِيَ الحياةَ بغير دينٍ فقد جعل الفَناءَ له قرينَا

 

· apabila iman sudah lenyap maka tiada lagi erti keamanan,· dan sesungguhnya tiada erti kehidupan dunia bagi orang yang tidak mendirikan agama,· sesungguhnya orang yang redha menjadikan kehidupan dunianya sunyi daripada agama,· dia telah menjadikan kehancuran itu sebagai teman karibnya.

 

Sesungguhnya kita ini merupakan satu ummat yang dimuliakan oleh Allah semata-mata kerana Islam. Apabila kita cuba untuk mencari kemulian selain daripada Islam maka yakinlah bahawa kita akan dihina oleh Allah Taala.

 

Wahai hamba Allah. Wahai insan yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah. Adakah kamu mengambil segala apa yang berlaku ini sebagai satu tarbiah dan tazkirah buat diri kamu? Adakah kamu masih lagi berasa aman daripada kemurkaan Allah?

 

Adakah kamu tidak memikirkan langsung walau sejenak bahawa Allah mampu untuk menghancurkan kamu dan insan sekelilingmu , lantaran maksiat dan perderhakaan yang kamu persembahkan kepada Rabbul Alamin? Apakah kamu masih menyangka bahawa azab yang pedih daripada Allah yang pernah ditimpakan kepada umat sebelummu seakan-akan satu dongengan yang tidak akan sama sekali menimpamu?

 

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ * أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ * أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

 

Yang bermaksud :[97]  Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?[98] Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?[99] Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

 

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

 

Insafilah duhai teman yang menjadi pewaris perjuangan para nabi dan rasul agar kita benar-benar berusaha untuk menjadi hamba Allah yang berusaha untuk membentuk syakhsiah yang terpuji. Pasakkan kembali ruh pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar di sanubari kita. Berusahalah untuk kalian meraih cinta abadi daripada Rabbul Izzati dengan usaha gigih meninggalkan segala sifat cela yang hanya akan mengundang benci dan murka dariNya